PayNet sasar sejuta kemudahan DuitNow QR

Pengarah Perkhidmatan Pembayaran Peruncitan Payment Networks Malaysia (PayNet), Khairuan Abdul Rahman  Pengarah Perkhidmatan Pembayaran Peruncitan Payment Networks Malaysia (PayNet), Khairuan Abdul Rahman

KUALA LUMPUR: Payment Networks Malaysia (PayNet) menyasarkan penambahan sehingga sejuta kemudahan pembayaran tanpa tunai, DuitNow QR di seluruh negara menjelang 2022 berbanding 647,020 ketika ini.

Pengarah Perkhidmatan Pembayaran Peruncitannya, Khairuan Abdul Rahman, berkata peningkatan itu akan didorong oleh usaha agresif PayNet mempromosikan penggunaan kemudahan berkenaan, khususnya kepada perniagaan kecil dan mikro.

Katanya, PayNet juga tidak menghalang perniagaan besar untuk menggunakan kemudahan berkenaan seperti Hospital KPJ yang sudah menerima pakai DuitNow QR di 15 hospital miliknya di seluruh negara.

“Ketika ini, sebanyak 18 peserta atau pemeroleh terdiri daripada bank dan penyedia perkhidmatan e-dompet sudah menyertai DuitNow QR.

“Tahun ini, kami menjangkakan sebanyak 10 lagi pemeroleh akan menyertai kemudahan ini termasuk penyedia pembayaran e-dompet utama seperti Grab dan Boost pada akhir bulan ini,” katanya kepada BH.

PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan konsortium terdiri daripada 11 bank tempatan.

DuitNow QR ditubuhkan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) BNM.

ICTF memberi mandat kepada PayNet, sebagai penyedia rangkaian pembayaran dan infrastruktur utama bagi pasaran kewangan di Malaysia untuk menjalankan QR standard saling boleh kendali dan umum untuk Malaysia.

Ditanya maklum balas diterima peniaga yang menggunakan kemudahan itu, Khairuan berkata, kebanyakannya memberikan respons positif dengan mengatakan ia memudahkan operasi perniagaan masing-masing.

Katanya, sebelum wujud DuitNow QR peniaga perlu berurusan secara berasingan dengan setiap pemeroleh yang menjadikan proses lebih panjang dan lama.

“Jika sebelum ini peniaga menggunakan dua atau tiga perkhidmatan QR daripada pemeroleh berbeza, maka setiap kali peniaga hendak membuat tuntutan bayaran, mereka perlu mengemukakan tuntutan yang berasingan.

“Namun, dengan ada DuitNow QR, peniaga kini hanya perlu melakukan sekali sahaja tuntutan itu dan selebihnya diuruskan oleh pemeroleh,” katanya.

Dalam pada itu, Khairuan berkata, PayNet sedia mempertimbangkan permintaan daripada pihak industri untuk melanjutkan lagi pengecualian fi yang dikenakan bagi menggunakan kemudahan DuitNow QR.

“Pengecualian fi ini sudah diberikan sejak tahun lalu dan sekiranya terdapat permintaan untuk minta kita lanjutkan, ia akan dipertimbangkan,” katanya.