Celcom MAX sedia perkhidmatan internet menyeluruh

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi (kanan) pada majlis pelancaran tawaran konvergens terbaharu, Celcom MAX secara maya, hari ini - Foto Celcom Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi (kanan) pada majlis pelancaran tawaran konvergens terbaharu, Celcom MAX secara maya, hari ini – Foto Celcom

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) memperkenalkan tawaran konvergens terbaharunya, Celcom MAX yang memberi penyelesaian sehenti bagi perkhidmatan internet dan kesalinghubungan kediaman serta mudah alih.

Tawaran baharu ini membolehkan pelanggan memaksimumkan gaya hidup digital dalam keselesaan di kediaman atau di mana sahaja mereka berada.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata semakin ramai rakyat Malaysia kini terbabit secara langsung dalam ekosistem digital sekali gus mengubah cara bekerja, belajar, bersantai dan bermain.

Beliau berkata, hubungan internet sudah menjadi keperluan dalam sebahagian besar aktiviti harian dan gaya hidup, sama ada ketika di rumah atau berada di luar.

Celcom MAX, katanya, adalah penyelesaian sehenti bagi kediaman dan mudah alih yang direka khas untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Internet yang lancar, kukuh dan konsisten tersedia pada bila-bila masa membolehkan pengguna memaksimumkan gaya hidup digital mereka yang unik, sama ada menyertai mesyuarat atau kelas atas talian, penstriman video hiburan, bermain permainan mudah alih atau melayari internet untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Celcom MAX adalah sesuai untuk pelbagai saiz isi rumah, kerana variasi pakej mampu milik dan pelan ditawarkan memberi pelanggan penjimatan dan nilai terbaik bagi kesalinghubungan,” katanya selepas melancarkan Celcom MAX secara maya, semalam.

Idham berkata, Celcom MAX menggabungkan kedua-dua pelan internet fiber berkelajuan tinggi tanpa had Celcom Home Fibre dan pelan pasca bayar Celcom MEGA dalam satu pelan dan bil yang sama.

Celcom MAX baharu ditawarkan dengan kadar promosi RM179 sebulan, dengan gabungan terbaik Celcom Home Fibre (RM120) dan pelan pasca bayar Celcom MEGA (RM80).

Gabungan tawaran terhebat ini merangkumi penjimatan RM21 setiap bulan selama seumur hidup dengan 100Mbps internet berkelajuan tinggi tanpa had, panggilan tanpa had di talian mudah alih, dan PERCUMA router AX untuk kediaman.

Selain itu, mulai 6 April sehingga 9 April 2021, 100 pelanggan pertama yang melanggan pelan Celcom MAX 100Mbps atau lebih tinggi akan menikmati sebulan bil secara percuma.